Hari
terus berganti hari. Kehidupan manusia juga terus berjalan pantas seiring
dengan masa yang pantas berlari. Di celah-celah hari berwarna-warni
yang di jalani dan ditelusuri, tanpa disedari atau tidak, manusia
sebenarnya telahpun menempuh pelbagai ujian dan dugaan duniawi. Ujian-ujian
yang diberi oleh Allah itu datang menyapa silih berganti dalam pelbagai bentuk
dan rupa. Setiap orang diuji olah Allah berbeza-beza mengikut tahap
kemampuannya.
“Allah tidak membebani
seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya, ia mendapat pahala kebajikan yang
diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang dilakukannya…
(Al-Baqarah: 286)
ALLAH
telah menyatakan dengan jelas di dalam Al-Quran bahawa DIA tidak akan
sekali-kali menguji hambaNya diluar kemampuan hambaNya. ALLAH mengetahui
kita kuat dalam menghadapi ujianNya, oleh kerana itu ALLAH memberikan ujian
itu ke atas diri kita. Di sini kita dapat lihat betapa sayang dan kasihnya
ALLAH kepada kita sebagai hambaNya. ALLAH menguji seseorang bukan kerana ALLAH
benci kepada kita tetapi percayalah ALLAH menguji kita kerana DIA sangat kasih
kepada kita. Cuma kita sebagai hambaNya, adakala tidak mampu bertahan dan
bersabar dalam menghadapi ujianNya.
Hakikatnya
saat ini, saat kita sedang mengecapi bahagia, ada berjuta manusia di luar sana
yang sedang dihujani ujian atau dihimpit pelbagai derita. Ada di kalangan
manusia di luar sana yang saat ini sedang diuji dengan kehilangan orang
tersayang. Tidak kurang juga ada manusia yang diuji apabila apa yang diingini
dan diharapkan tidak terjadi dan diberi.
“Kenapa aku yang diuji? “
“Mengapa aku diuji sebegini?”
“Ujian ini sangat berat. Aku
tak mampu…”
Mungkin
ini adalah antara persoalan dan keluhan yang meniti di bibir atau berlegar di
fikiran kita sebagai seorang hamba saat dihimpit dengan secebis ujian. Kadangkala
tanpa sedar dan niat kita juga terlanjur marah pada DIA kerana menghujani
kita dengan pelbagai ujian. Tetapi, apabila kita menenangkan diri dan
bermuhasabah kembali, tenyata sebenarnya dengan ujian yang diberi kita
adalah hamba yang beruntung. Mengapa saya katakan begitu? Kerana
ujian hanyalah diberi oleh Allah kepada hamba-hambanya yang terpilih.
Hamba-hambanya yang dikasihi dan disayangiNya. Dan jangan kita lupa bersama
ujian itu juga ada pertolongan dari Allah sepertimana yang dinyatakan di dalam
Al-Quran:
Adakah patut kamu menyangka
bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan
cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu sebelum
kamu? mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan
penyakit, serta digoncangkan (dengan ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah
Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: “Bilakah (datangnya)
pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat
(asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).
(Al-Baqarah: 214)
Sebagai
manusia biasa, kita pastinya tidak akan mampu menjangka bilakah ujian itu akan
muncul tiba. Walaubagaimanapun, jika kita mengetahuinya, apalah kudrat kita
sebagai seorang hamba yang kerdil lagi penuh dosa untuk menolak ujian-ujian
yang bakal menyapa itu.
Jika
direnungkan kembali, kita semua pastinya pernah dan akan ditimpa ujian dari
yang Maha Esa, tetapi saat ujian itu tiba, mampukah kita menjadi manusia yang
bersyukur dengan ujian itu dan memandangnya sebagai hadiah pemberian Allah?
Manusia
itu sifatnya pelupa, Ada masanya dalam melayari kehidupan di dunia, kita lalai
dan leka pada hakikat yang nyata bahwa kita hanyalah hamba DIA yang Esa. Jadi
apakah sebenarnya yang mampu membangkitkan manusia dari kelalaian dan kealpaan
ini? UJIAN. Ya, Ujian. Ujian atau mehnah yang menjengah dalam kehidupan kita
itulah sebenarnya yang mampu mengejutkan kita dari mimpi dunia yang panjang.
Allah
Tuhan yang Maha Mengetahui. Mungkin tanpa ujian-ujian dan dugaan yang
dikirimkan khas oleh DIA untuk kita, kita masih lagi menjadi seorang hamba yang
hanyut dan lemas dalam lautan kelalaian.
Apa
yang paling utama sebenarnya adalah “ hadiah ” itu dikirimkan oleh Allah
bertujuan untuk menilai sejauh mana keimanan kita terhadapNya sepertimana yang
dijelaskannya di dalam Al-Quran:
Patutkah manusia menyangka
bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang
mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?
(Al-Ankabut: 2)
Justeru,
marilah kita sama-sama bermuhasabah dan menilai kembali segala prasangka buruk
yang mungkin pernah bermain di fikiran kita saat kita diuji.
Inilah
saatnya bagi kita, saya dan anda yang sedang membaca, merubah fikiran kita dan
mula memandang ujian-ujian yang telah dan akan kita lalui sebagai sebuah ‘
hadiah’ dari Allah dan bukan lagi satu bebanan.
Apabila
kita benar-benar menyedari hakikat ini, maka kita akan menjadi seorang hamba
yang bersyukur dengan segala ujian yang diberi.
No comments:
Post a Comment