Sunday 25 March 2018

Sifat Seorang Pendakwah

Sifat-sifat seorang pendakwah boleh dikaitkan dengan akhlak iaitu perilaku yang sejajar dengan kehendak Islam seperti yang diterangkan di dalam al-Quran dan dijelaskan oleh Rasulullah dalam sunnah baginda.
Pendakwah adalah pembawa berita baik (bashir) dan berita menakutkan (nazir). Mereka merupakan pewaris kepada ulama dan para nabi (a.s.) yang bertanggungjawab menyampaikan kebenaran ajaran Islam. Oleh itu, para pendakwah perlu mempunyai sifat-sifat yang terpuji supaya menjadi ikutan baik kepada mad’unya. Sekiranya mereka tidak berada di dalam tempat yang selayaknya dalam memikul beban dakwah daripada akhlak yang mulia dan sifat-sifat yang terpuji, maka sudah tentu semua manusia tidak mahu menerima dakwah mereka, bahkan menjadikan semua manusia lari daripada pendakwah daripada diajak ke arah kebaikan.

Berikut adalah sifat-sifat yang perlu ada pada seorang pendakwah :

·         Benar
Sifat benar dalam berdakwah adalah merupakan asas segala keutamaan dan sumber kepercayaan. Sesungguhnya Allah s.w.t telah memerintahkan supaya bersifat benar. Sifat benar yang dimaksudkan terbahagi kepada tiga aspek iaitu hati, perkataan dan perbuatan. Benar dengan hati bererti ingin menuntut keredhaan Allah semata-mata, bukan sekadar ingin, mencipta nama, mendapat pangkat dan harta. Benar dengan perkataan menunjukkan bahawa lidahnya hanya menuturkan kata-kata yang benar sahaja dan menjauhkan kata-kata yang batil. Secara tidak langsung, perbuatan yang terzahir juga tidak mencurigakan dan bukan sekadar lakonan, malah perbuatannya terpancar kebaikan.

·         Sabar
Sabar merupakan sebahagian daripada iman dan merupakan salah satu dari ciri-ciri orang yang beriman. Di dalam al-Quran, Allah telah memerintahkan supaya manusia berlaku sabar. Sabar menurut bahasa ialah menahan dan mencegah, manakala istilah syara’ ialah terbahagi kepada tiga perkara iaitu, sabar dalam ketaatan, sabar dari kemaksiatan, dan sabar dalam menghadapi kesukaran dan ujian. Sabar dalam ketaatan bermaksud sentiasa memelihara ketaatan, ikhlas dalam mengerjakannya dan berdakwah sesuai dengan apa yang diperintahkan syara’.
Sabar dari kemaksiatan pula bererti meninggalkan kemaksiatan dan kejahatan. Perkara ini boleh tercapai apabila perasaan takut kepada Allah telah tertanam dalam lubuk hati akibat cinta kepada Allah melebihi cinta daripada selain-Nya. Di samping itu, kesabaran ini mampu mengekalkan keimanan dan mengelakkan diri daripada bergelumang dengan dosa. Sabar dalam menghadapi kesukaran dan ujian bermaksud meninggalkan rasa benci dan keluh kesah di dalam hati serta mengadukan nasibnya kepada orang lain. Pengaduan hanya kepada Allah Yang Maha Esa kerana itu lebih bermakna dan hakiki. Sifat sabar sangat penting bagi pendakwah kerana golongan ini perlu bersabar kepada dua perkara iaitu sabar untuk berjuang melawan nafsu diri sendiri dengan selalu membuat perkara kebaikan dan menjauhkan diri dari berbuat maksiat. Pendakwah juga perlu bersabar untuk berjuang  di dalam lapangan dakwahnya iaitu menyeru dan mengajak umat manusia untuk melaksanakan ajaran Islam.

·         Kasih Sayang
Sifat lain yang terpenting yang perlu ada pada pendakwah ialah kasih sayang. Pendakwah harus mempunyai hati yang lembut yang penuh dengan kasih sayang kepada setiap orang dan mereka perlu mengasihi manusia umpama dia mengasihi dirinya sendiri. Sebagai contoh analogi seorang ayah mengasihi anaknya ialah dengan menghindarkan anaknya dari kebinasaan dan berusaha dengan sepenuh hati untuk menyelamatkan anaknya. Pendakwah yang bersifat kasih sayang tidak akan berhenti dakwahnya serta tidak akan berputus asa jika dakwahnya ditolak kerana mengetahui akan kejahilan orang yag didakwahkannya.

·         Tawadduk
Fadhil bin ‘Iyad memberi maksud tawadduk sebagai merendah diri dan menerima kebenaran dan bersedia mengikutinya, sekalipun nasihat itu dari orang yang jahil. Oleh itu, pendakwah memerlukan sifat tawadduk dalam diri mereka kerana sifat ini membantu melicinkan gerak kerja dakwah kerana mad’u tidak akan menerima perkataan dan nasihat dari orang yang sombong walaupun apa yang dikatakannya adalah benar, malah boleh menyebabkan timbul rasa benci kepada pendakwah.


No comments:

Post a Comment